Sudah tentu tertanya di hati – apakah dia batas minima bagi seseorang yang pakaiannya tidak menepati syarat-syarat solat ? Maka jawapannya ialah walau apapun kekurangan pakaian yang dihadapi, solat tersebut tetap wajib dilaksanakan dan tetap sah sekalipun jikalau terperangkap dalam suasana tidak berpakaian langsung. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, ahli fiqh mutakhir dan juga Ketua Fakulti Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Damaskus, Syria menerangkan rincian pendapat setiap mazhab ahli sunnah yang empat mengenai batas minima pakaian solat seseorang iaitu –
Menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Maliki, seseorang yang tidak mempunyai pakaian penutup aurat hendaklah dia tetap bersolat sekalipun bertelanjang kerana menutup aurat adalah dituntut ketika terdaya maka gugurlah tuntutan jika tidak terdaya.
Menurut pendapat Mazhab Hanbali, dalam keadaan tidak ada penutup aurat hendaklah dilakukan solat secara duduk dan melakukannya secara isyarat.
Menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Shafie dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun dengan melumuri tanah pada tubuh badan sebagai penutup aurat dan berkekalan dalam keadaan sedemikian sehingga selepas solat, atau dengan melumuri air yang keruh pada tubuh badan sebagai penutup aurat.
Menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Hanafi dan Maliki memadai dengan kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat, sementara menurut pendapat yang asah di kalangan ulama’-ulama’ Mazhab Shafie, hendaklah menutup kemaluan dengan tangan, begitu juga menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Hanbali kerana dengan itu tercapai tujuan menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Dalam keadaan tersebut menurut pendapat ulama’ulama’ Mazhab Shafie, hendaklah dilakukan solat secara berdiri bagi menyempurnakan rukun solat dan menurut pendapat yang madhab di kalangan mereka, solat tersebut tidak wajib diulangi selagi sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Sementara itu menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Hanafi, hendaklah dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud sebagaimana juga pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Hanbali. Itulah yang lebih utama daripada solat secara berdiri dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud kerana menutup aurat adalah lebih penting daripada menunaikan rukun.
Demikian salinan penerangan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili. Penerangan di atas insya-Allah tidak mungkin akan temui suasananya dalam sepanjang hidup kita. Namun ia dikemukakan bagi menunjukkan bahawa para ulama’ fiqh dari semua 4 Mazhab yang sedia ada tetap mewajibkan solat dilaksanakan dalam waktunya sekalipun berhadapan suasana dan keadaan yang amat mengharukan. Faktor ketiadaan pakaian yang secukupnya tidak diterima sebagai alasan atau dalih untuk menundakan solat atau meninggalkannya terus.
Kesimpulan. 1. Syarat pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang dapat menutupi sehingga ke kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya hendaklah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga melihatkan warna kulit di sebaliknya.
2. Apabila gagal menepati syarat pakaian solat yang diwajibkan dan dia telah berusaha sedaya mampu, hendaklah tetap mendirikan solat tersebut dengan sekadar apa yang ada. Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.
Lebih artikel untuk anda.
Pernahkah kita mendengar tentang sujud syukur? Pernah atau tidak kita melaksanakannya sekali seumur hidup? Adakah sujud syukur ini sama seperti sujud ketika di dalam solat?
Itulah antara beberapa persoalan yang mungkin berlegar di benak fikiran bagi mereka yang pertama kali mendengar tentangnya. Berikut diperjelaskan serba sedikit;
#1 – Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sujud Syukur?
Sujud syukur adalah sujud yang dilakukan kerana mendapat nikmat yang besar daripada Allah S.W.T.
#2 – Adakah Sujud Ini Sama Seperti Sujud Ketika Dalam Solat?
Sujudnya sama seperti dalam solat akan tetapi ia dilakukan di luar solat.
#3 – Adakah Seseorang Itu Perlu Berwuduk Bagi Melaksanakan Sujud Syukur Ini?
Sujud syukur tidak perlu berwuduk.
#4 – Adakah Sujud Syukur Ini Perlu Dilakukan Pada Masa-masa Tertentu?
Sujud ini boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Contohnya, apabila seseorang itu berjaya meraih kejayaan dalam sukan yang diceburinya seperti bola sepak, badminton, atau menyertai apa-apa jua jenis pertandingan, mendapat kenaikan pangkat, memperoleh zuriat atau apabila kita memperoleh sesuatu yang tidak disangka-sangka.
#5 – Adakah Sujud Syukur Sama Seperti Sujud Tilawah?
Tidak sama. Sujud syukur dilakukan kerana memperoleh sesuatu nikmat daripada Allah S.W.T. Adapun sujud tilawah adalah apabila kita membaca ayat-ayat sajadah (yang menyeru kita untuk bersujud/bertasbih) di dalam Al-Quran.
#6 – Berapakah Bilangan Sujud Yang Perlu Dilakukan?
Hanya sekali sujud sahaja.
#7 – Bagaimanakah Tatacara Untuk Melaksanakan Sujud Syukur?
Pertamanya, hendaklah berniat;
“Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala.”
Kedua, takbiratulihram iaitu mengangkat tangan seperti takbir ketika di dalam solat.
Ketiga, sujud sebanyak satu kali dan bacaan ketika sujud itu sama seperti dalam solat; Subhana robbial a’la wabihamdih
Keempat, memberi salam dengan menyebut;
Assalamualaikum warahmatullah.
Renungilah firman Allah S.W.T ini yang bermaksud;
“Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.”
Surah An-Naml:40
Moga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada penulis dan pembaca semua. Wallahua’lam.
Advertisement