Disangka Mahu Membunuh Diri Kerana Panjat Pencawang, Rupanya Mahu Swafoto Sempena Hari Lahir..!
BANGSAR – Seorang lelaki tempatan panjat pencawang elektrik hanya kerana untuk mendapatkan swafoto terbaik sempena hari jadinya yang jatuh pada hari berkenaan!
Pada petang 20 November lalu, satu kejadian gempar lagi mengejutkan telah berlaku di sekitar kawasan Menara TM dan Hotel Pullman Bangsar apabila seorang lelaki berpakaian kasual tanpa sebarang peralatan keselamatan diri telah memanjat pencawang elektrik.
Kejadian yang berlaku pada jam 5.29 petang itu benar-benar mengejutkan orang ramai yang kemudiannya memuatnaik peristiwa berkenaan di media sosial.
Saksi kejadian turut menghubungi pihak polis dan anggota bomba penyelamat kerana menyangkakan lelaki berkenaan cuba untuk membunuh diri dengan terjun daripada menara elektrik tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, “Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki memanjat pencawang elektrik. Bagaimanapun, lelaki terbabit turun dari pencawang elektrik itu selepas mendengar nasihat anggota polis dan pihak bomba yang membuat persediaan di lokasi bagi memantau sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini”.
Walau bagaimanapun, pihak Info Roadblock JPJ/Polis telah mengesahkan bahawa tindakan lelaki berkenaan yang berusia 26 tahun bukanlah untuk membunuh diri tetapi untuk mengambil swafoto terbaik sempena harijadinya pada hari berkenaan.
Difahamkan, lelaki tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat perbuatannya dan pihak polis akan mengambil tindakan seterusnya sebagai pengajaran atas perbuatan yang berbahaya itu.
Tindakan lelaki berkenaan turut mengundang komen negatif daripada netizen. Ada yang berang kerana beranggapan lelaki itu terlalu terpengaruh dengan budaya Barat dalam melakukan aksi merbahaya.
Diharap, insiden ini tidak ditiru oleh individu lain kerana ianya boleh mengakibatkan kemalangan yang tidak diduga. Kepada lelaki berkenaan, pilihlah sesuatu yang tidak berisiko dan membahayakan nyawa untuk sambutan hari jadi pada masa hadapan.
Kredit: erabaru / peahgosip
Advertisement

